Agama

RUU Mufti Wilayah: YADIM tolak gesaan ganti Menteri Agama

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius terhadap gesaan yang mengusulkan penggantian Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Menteri Agama susulan isu pindaan Rang UndangUndang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, usul sebegini bukan sahaja mengabaikan rasa hormat terhadap kepimpinan agama, malah boleh mencemarkan institusi agama yang telah sekian lama menjadi rujukan utama umat Islam dalam mengekalkan keharmonian masyarakat.

“Dalam kedudukannya sebagai Menteri Agama, beliau memiliki pengalaman yang luas dalam bidang kehakiman, yang menjadi asas kukuh dalam pentadbiran beliau di peringkat kementerian.

“Pengalaman beliau ini bukan sahaja memberi perspektif yang menyeluruh mengenai undang-undang syariah, malah memperkukuh peranan beliau dalam menegakkan keadilan berlandaskan prinsip Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Di samping itu, katanya, kedudukan beliau sebagai anggota Kabinet yang kekal mempertahankan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peranan beliau melaksanakan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu melalui Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) adalah bukti komitmen beliau dalam memperkukuhkan institusi agama.

“Pindaan Rang Undang-Undang ini amat penting untuk memperkukuhkan
institusi mufti di Wilayah Persekutuan.

“Berlaku khilaf dalam memastikan syarat pelantikan mufti dalam keadaan
semua tahu bahawa ia adalah kuasa yang diperuntukkan kepada Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya

Sehubungan itu katanya, sebagai Yang Dipertua YADIM, pihaknya menolak
sebarang gesaan yang tidak berasas untuk menggantikan Menteri Agama hanya atas perbezaan pendekatan atau pandangan.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak konstruktif, malah berpotensi menjejaskan kredibiliti institusi agama dalam membimbing masyarakat Islam dengan lebih jelas dan adil.

“YADIM menyeru semua pihak agar mengekalkan sikap berlapang dada dan
mengamalkan prinsip adab al-ikhtilaf dalam berbeza pandangan demi memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam terus terjaga.

“Pendekatan gopoh dalam mengutarakan desakan tidak membawa sebarang
manfaat dan sepatutnya dielakkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan
atau perpecahan yang tidak diperlukan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button