Kartel baja padi RM1.8 bilion : dua lagi direman SPRM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu termasuk seorang pengerusi syarikat warga negara asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.
Perintah reman selama 5 hari itu dikeluarkan oleh Pendaftar, Tuan Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek, selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia kira-kira 40-an hingga 50-an itu ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.
Hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan Pengurus Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi pertubuhan.
Menurut sumber, pengerusi pertubuhan itu telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.
”Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa 6 hari sahaja pada sekitar bulan Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini”, tambah sumber.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009
Sehingga hari ini seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman semalam sehingga 2 November 2024.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara.