Jenayah & Mahkamah

MyAqsa fail petisyen jenayah kemanusiaan, genosid terhadap Netanyahu

KUALA LUMPUR – Yayasan MyAqsa Malaysia (MyAqsa) menyerahkan bukti dan keterangan jenayah perang terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague semalam.

Menurutnya dalam satu kenyataan, MyAqsa menyeru agar tuduhan rasmi terhadap Netanyahu atas dakwaan jenayah di bawah Perkara 61 Statut Rom dapat dibuat dengan segera.

“Kami memohon penyiasatan menyeluruh dimulakan segera oleh ICC berdasarkan maklumat dan bukti seperti yang diperuntukkan menurut Artikel 15 dan 53 Statut Rom,” katanya hari ini.

Pemfailan petisyen itu dibuat oleh Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad, bersama peguam Lukman Sheriff Alias dan Azril Mohd Amin serta didokong oleh Pengerusi Yayasan MyAqsa, Suwardi Yaacob.

Menurut kenyataan itu, penghujahan tehadap jenayah perang Israel telah disusun dengan teliti oleh pasukan penyelidik MyAqsa dan dikemukakan bagi menangani jenayah kemanusiaaan yang berlaku di Gaza.

Katanya, tumpuan penyerahan petisyen itu merangkumi bukti serangan dan pengeboman ke atas institusi perubatan penting, iaitu Hospital al-Shifa, Hospital al-Quds, Hospital Indonesia dan Hospital al-Ahl yang terletak di Gaza.

“Dokumen komprehensif yang dikemukakan setebal 52 muka surat yang menggariskan dengan terperinci sejarah prosedur, rangka kerja undang-undang yang relevan dan catatan terperinci mengenai kekejaman yang dilakukan oleh pihak tertuduh yang telah menyebabkan beribu-ribu kematian, kecederaan dan kehilangan rumah penduduk Palestin yang tidak bersalah.

“Walaupun terdapat begitu banyak bukti awam mengenai pelbagai jenayah perang keji yang dilakukan oleh Israel, MyAqsa ingin menyatakan kekecewaannya terhadap ICC kerana kegagalannya meneruskan dakwaan terhadap Netanyahu selepas lebih sebulan serangan genosid Israel yang menyaksikan kematian lebih daripada 13,000 kanak-kanak dan orang awam.

“Justeru, MyAqsa telah bekerja keras untuk mengumpulkan semua bukti secara padu dan mengatur cara semua bukti bagi tujuan pendakwaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bukti yang dikumpul bukan sahaja terdiri daripada video dan gambar malah kenyataan langsung daripada ramai saksi yang menyaksikan sendiri.

Pada masa sama katanya, pengumpulan bukti itu dilakukan dengan bantuan kerajaan Palestin.

Show More

Related Articles

Back to top button