Berita SemasaLuar Negara

Wisma Putra ambil maklum laporan MyKad, lesen memandu Malaysia ditemui di Ukraine

PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengambil maklum berhubung satu laporan yang menyatakan MyKad dan lesen memandu Malaysia telah dijumpai di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu.

“Maklumat itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kementerian Luar juga menyarankan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri ketika di luar negara.

“Keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.

“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” menurut kenyataan itu.

GAMBAR MEDIA SOSIAL

Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen itu ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Show More

Related Articles

Back to top button