Berita Semasa

Agensi Nuklear Malaysia anjur seminar kukuhkan kawalan keselamatan sinaran di tempat kerja

KUALA LUMPUR – Kepimpinan dalam pengurusan keselamatan sinaran merupakan satu aspek penting dalam memastikan pematuhan kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Bagi memastikan aspek pengurusan sedemikian diutamakan, Agensi Nuklear Malaysia semalam mengadakan Seminar Kesedaran Keselamatan Sinaran bagi Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) yang menekankan kawalan keselamatan sinaran di tempat kerja.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan berkata, peranan OBTL adalah besar dalam memastikan setiap amalan berkaitan sinaran dalam organisasi dijalankan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dan mematuhi Akta 304.

“Akta 304 ini bukan sekadar garis panduan, tetapi menjadi asas utama yang mengawal selia penggunaan tenaga atom dan bahan radioaktif di Malaysia.

“Kepatuhan kepada akta ini bukan sahaja wajib, malah tidak boleh dikompromi.

“Dengan kepatuhan yang tinggi, kita dapat mengurangkan risiko sinaran, melindungi kesihatan awam serta memelihara alam sekitar daripada ancaman sinaran yang tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Seminar ini turut mengetengahkan peranan penting teknologi dan aplikasi sinaran mengion dalam pelbagai sektor antaranya pertanian, perubatan, agrikultur, industri, pembuatan, penyelidikan dan alam sekitar.

Selain itu, seminar ini turut menjadi satu wadah ilmu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan dan kepimpinan nuklear terhadap perlindungan sinaran keselamatan, amalan keselamatan sinaran terbaik di tempat kerja dan budaya kerja yang selamat dalam kalangan para OBTL, pekerja sinaran dan orang awam di sekitarnya.

“Kepimpinan dalam bidang ini bukan sahaja menekankan aspek pengetahuan teknikal, malah memerlukan pengurusan strategi betul dalam perlindungan keselamatan sinaran.

“Semua pihak terlibat perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan keselamatan sinaran yang mampan,” kata Rosli lagi.

Beliau kemudiannya menambah, kerjasama dan sokongan yang mantap serta komitmen yang berterusan oleh semua pihak boleh menjadi asas kepada kepimpinan nuklear yang mantap dan berwibawa, kerana penerapan budaya keselamatan yang kuat secara menyeluruh adalah kunci kepada kejayaan pengurusan sinaran di Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button