Portal MySiswaPlace langkah inovatif selaraskan kebajikan, kesejahteraan mahasiswa
PUTRAJAYA – Pembangunan portal MySiswaSpace merupakan satu langkah inovatif dan selari dengan iltizam kerajaan mendigitalkan perkhidmatan kepada rakyat bagi menyelaras hal ehwal pemerkasaan, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa secara bersepadu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pembangunan portal ini merupakan usaha Yayasan Perkasa Siswa (YPS), yang ditubuhkan hasil cetusan idea Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
“Walaupun baru berusia lebih kurang tiga tahun, yayasan ini telah berjaya menyalurkan sumbangan yang bernilai hampir RM12 juta kepada mahasiswa yang memerlukan.
“Bantuan dihulurkan secara umumnya dibahagikan kepada tiga kluster, iaitu Pembangunan Pelajar, Khidmat Komuniti dan Kluster Kebajikan, dan memanfaatkan hampir 1.2 juta pelajar IPT yang berdaftar di bawah ekosistem KPT,” kata Zambry, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Peluncuran Portal MySiswaPlace, di sini hari ini.
Portal ini disasarkan menjadi ‘one-stop place’ bagi mahasiswa dalam mendapatkan pelbagai bantuan dan geran daripada YPS.
Sebagai permulaan, para mahasiswa boleh menebus Baucar Buku MADANI menerusi MySiswaPlace mulai pukul 10 pagi, 30 Oktober (esok) hingga 31 Disember 2024.
“Pendekatan ini merupakan usaha untuk memastikan setiap inisiatif bantuan dan baucar yang ditawarkan oleh kerajaan dinikmati oleh semua pelajar yang disasarkan.
“Pada masa yang sama, ia juga direka untuk meminimumkan risiko penyalahgunaan bantuan kerajaan untuk mahasiswa, seterusnya memaksimumkan manfaat insentif-insentif berkenaan,” katanya lagi.