Bisnes & Ekonomi

Glomac lulus dividen akhir 1.25 sen, rancang pelancaran produk baharu bernilai RM460 juta

KUALA LUMPUR – Glomac Berhad mengumumkan pemegang saham meluluskan dividen akhir sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (TK24).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac ke-40 yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, dividen itu hasil daripada kira-kira 3.1 peratus, berdasarkan harga penutupan saham sebanyak 40 sen pada 30 April 2024.

“Glomac telah mencatatkan hasil sebanyak RM267.6 juta pada tahun kewangan 2024.

“Ini disumbangkan oleh kemajuan pembinaan projek di perbandaran Saujana KLIA, Bandar Saujana Utama, Saujana Perdana serta pembangunan kediaman bertingkat tinggi di Petaling Jaya, Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences.

“Keuntungan sebelum cukai Glomac mencatatkan RM32.9 juta, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATMI) ialah RM23.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Glomac, di sini.

Jualan baharu pada tahun kewangan 2024 meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM360 juta, berbanding RM302 juta pada tahun sebelumnya, dipacu oleh perbandaran kediaman yang berjaya seperti Lakeside Residences, Saujana Perdana, 121 Residences dan Plaza@Kelana Jaya.

Katanya, Glomac juga bersedia melancarkan rangkaian produk baharu bernilai kira-kira RM460 juta, pada tahun kewangan 2025.

“Ia termasuk fasa baharu rumah dua tingkat di Serai@SBCR, Saujana KLIA, dan Saujana Jaya di Kulai, Johor,” katanya.

Sementara itu, pelancaran pertama rumah teres dua tingkat di Serai@SBCR pada Ogos lalu mendapat sambutan memberangsangkan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM66 juta.

Selain itu, penubuhan Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM3 bilion, dengan tujuan membiayai perolehan tanah, keperluan modal kerja, dan pembiayaan semula pinjaman patuh shariah yang sedia ada.

Dengan rizab modal yang kukuh dan portfolio bank tanah bernilai anggaran RM7 bilion, Glomac berada dalam kedudukan yang baik untuk meneruskan pembangunan berterusan pada masa akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button