Dakwaan kos rawatan hemodialisis di fasili KKM naik tidak benar sama sekali
PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa kerajaan akan menaikkan kos rawatan hemodialisis di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), adalah tidak benar sama sekali.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dakwaan tersebut yang menjadi tular menerusi media sosial adalah tidak berasas, kerana tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi rawatan buat masa ini.
“Telah tular kembali mesej berantai lama yang mendakwa bahawa Malaysia kini menuju ke arah ‘khidmat kesihatan berbayar’.
“Adalah ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia terutamanya di bawah pentadbiran Malaysia MADANI telah berulang kali menegaskan iltizam mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan.
“Sehubungan itu, penularan mesej tidak tepat dan tidak bertanggungjawab seperti ini harus dihentikan,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Dalam hantaran sama, Dr Dzulkefly turut memaklumkan, bayaran RM13 untuk satu sesi hemodialisis atau lazimnya RM169 sebulan bagi perkhidmatan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu, adalah bayaran sama sejak 2016.
Selain itu, katanya perkhidmatan asas di fasiliti KKM juga kekal RM1 manakala perkhidmatan pakar ialah RM5.
Terdahulu, tular satu hantaran media sosial yang mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma kerana pesakit wajib membayar RM13 bagi satu sesi atau RM169 sebulan, yang kononnya telah bermula sejak lebih setahun lepas, sedangkan ia sebenarnya ada fi yang sama sejak 2016.