Berita Semasa

Belanjawan 2025: Maritim Malaysia ucap terima kasih terima aset baharu

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah mengumumkan peruntukan penyelenggaraan serta penambahan aset kapal baharu kepada agensi itu dalam Belanjawan 2025 hari ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pengumuman berkenaan menandakan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberikan justifikasi yang kukuh tentang keperluan mendesak agensi itu kepada pihak kerajaan dalam usaha menjaga keselamatan perairan negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

“Penambahan aset ini adalah tepat pada masanya kerana Maritimm Malaysia kini berhadapan kekangan keupayaan aset dalam menjaga menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di kawasan sempadan perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut percaya melalui peruntukan belanjawan yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ itu, masyarakat akan semakin yakin dan percaya akan keprihatinan kerajaan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Pada sesi pembentangan belanjawan sebentar tadi, Perdana Menteri telah mengumumkan perolehan baharu aset laut kepada Maritim Malaysia iaitu terdiri daripada sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship dan dua buah Kapal Ronda Generasi Baharu serta peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan bagi enam buah kapal di bawah Ship Life Extension Programme fasa dua yang akan diterima pada tahun hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button