Pekerja buruh mengaku bersalah rogol remaja 15 tahun
KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan pada 22 September lalu.
Tertuduh, Mohamad Nor Akmal Amaran, 23, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Slow Pok Long, Dabong, dekat Kuala Krai, 2 pagi, pada 22 September lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, lapor Buletin TV3.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh untuk fakta hukuman.