Warga emas maut dipijak gajah di Kuala Berang
KUALA BERANG – Seorang lelaki warga emas yang sebelum ini melaporkan kepada pihak media kebimbingannya mengenai ancaman gajah liar di Kampung Basung di sini ditemui maut dipercayai diserang mamalia berkenaan.
Mangsa, Musa Ahmad, 71, yang ditemui dengan kesan lebam di bahagian dada, kepala dan tangan dipercayai dipijak oleh gajah selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar ke kebun pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Muhahidin Mat Yudin berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 7.15 pagi tadi kira-kira 100 meter dari kebunnya.
“Pada pukul 9.32 malam tadi ahli keluarga mangsa telah tampil membuat aduan mengenai kehilangan mangsa selepas keluar dari rumah kira-kira 7 pagi untuk pergi ke kebunnya.
“Mangsa ditemui meninggal dunia di kawasan cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas pencarian dilakukan penduduk dan pelbagai agensi,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), selain polis menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) atau polis dengan segera untuk tindak lanjut sekiranya menyedari kehadiran binatang liar di kawasan penempatan serta kebun.
Beberapa hari lalu, media menyiarkan aduan Musa mengenai kerosakan hasil tanamannya akibat pencerobohan gajah liar di kawasannya.