Berita Semasa

JAKIM nafi dakwaan peruntukan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz tidak disalurkan sepenuhnya

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan Presiden Parti BERJASA yang menyatakan kerajaan hanya menyalurkan RM50 juta kepada 874 buah sekolah agama rakyat dan tahfiz berdaftar daripada RM150 juta yang diperuntukkan Bajet 2024.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, dakwaan Zamani Ibrahim yang disiarkan melalui video bertajuk “BERJASA kesal 1,000 sekolah agama belum terima imbuhan Bajet 2024” di saluran Berita Pertiwi itu tidak tepat dan perlu diperjelaskan.

“Sehingga Oktober 2024 kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM120 juta kepada JAKIM.

“Data yang direkodkan dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) menunjukkan terdapat 3,601 Sekolah Agama Rakyat (SRA) dan Tahfiz berdaftar sehingga September 2024 bukan 1,000 seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di dalam rakaman video pada Forum Belanjawan 2025 di Majlis Perundingan Melayu, Kuala Lumpur itu, Zamani mendakwa kerajaan setakat ini hanya mengagihkan RM50 juta daripada bajet RM150 juta kepada hanya 874 SRA dan maahad tahfiz di seluruh negara.

Sementara itu, Sirajuddin berkata, peruntukan sebanyak RM5.36 juta telah diberikan kepada 874 buah sekolah bagi tujuan bantuan pengoperasian dengan setiap sekolah menerima antara RM1,901.25 hingga RM15,421.05 bergantung kepada jumlah pelajar.

“Penting untuk difahami bahawa bantuan ini adalah khusus untuk pengoperasian SRA dan bukannya untuk penyelenggaraan atau naik taraf Institusi Pendidikan Islam (IPI). Jumlah peruntukan berbeza mengikut bilangan pelajar yang memohon,” katanya lagi.

JAKIM turut memperincikan peruntukan yang telah disalurkan mengikut negeri, antaranya Perlis menerima RM863,000 untuk 11 buah IPI, Kedah RM4,671,600 untuk 55 buah IPI, Kelantan RM1,050,000 untuk 14 buah IPI dan Terengganu RM1,701,400 untuk 22 buah IPI.

Sirajuddin juga menekankan bahawa setiap permohonan perlu melalui pemegang taruh masing-masing dan memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024.

Beliau berharap penjelasan itu dapat merungkai kekeliruan yang timbul daripada dakwaan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button