Sistem PCB baharu ganti sistem sedia ada sedang dibangunkan – LHDN
CYBERJAYA – Sistem Potongan Cukai Bulanan (PCB) baharu e-PCB Plus sedang dibangunkan bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 di bawah satu platform menerusi portal MyTax.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mulai 24 September lalu, e-PCB Plus fasa satu dibuka kepada majikan sebagai persediaan awal sebelum sistem ini berfungsi sepenuhnya pada tahun hadapan.
“Fasa ini melibatkan pendaftaran peranan majikan/wakil majikan/pentadbir PCB di MyTax manakala pendaftaran peranan wakil pentadbir/kemaskini maklumat majikan dan pekerja di e-PCB Plus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pengguna e-PCB Plus perlu log masuk menerusi MyTax dengan memilih peranan yang berkaitan sama ada majikan /wakil majikan/pentadbir PCB/individu (wakil pentadbir).
“Maklumat berkaitan manual pengguna e-PCB Plus boleh diakses di https://mytax.hasil.gov.my > Panduan Pengguna > Manual Penggunaan e-PCB Plus.
“Sebagai maklumat tambahan, sistem PCB sedia ada masih berfungsi seperti biasa hingga pengumuman penutupan dimaklumkan dengan mengambil kira pembangunan fasa dua e-PCB Plus selesai dibangunkan,” katanya.