Berita Semasa

Sultan Perak berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menyaksikan Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-68 di Istana Iskandariah, hari ini.

Turut berangkat menyaksikan istiadat tersebut adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Istiadat yang penuh adat itu dimulakan dengan pemeriksaan pasukan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin, yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping, di bawah pimpinan Kolonel Abdul Rahim Hamzah.

Ketua Kawalan ialah Mejar Mohd Nurul Hasan.

Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Altileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buluh, Selangor diketuai oleh Mejar Hafizan Mat Ghani.

Acara itu juga diserikan dengan iringan pancaragam Brassband KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan TLDM Lumut yang diketuai oleh Leftenan Diya Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed, bersama-sama dengan Mohd Zulnizam Ismail dan Yushamizul Mohd Yussof.

Pada hari ini, Sultan Nazrin dijadual mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 59 penerima sempena ulang tahun keputeraan baginda kali ini.

Penganugerahan itu meliputi Darjah Kebesaran seperti Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP), Darjah Datuk Cura Si Manja Kini (DPCM), Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP), Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) dan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Antara penerima yang menerima penghormatan pada hari ini adalah Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Abdul Rahim Mydin yang dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim, yang baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima turut tersenarai sebagai penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Penganugerahan untuk baki 154 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak akan diteruskan pada sesi kedua yang dijadualkan pada Sabtu, 16 November depan.

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Nazrin bagi tahun ini berlangsung pada hari Jumaat pertama bulan November, iaitu pada 1 November lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button