Berita Semasa

Minat membaca rakyat Malaysia tunjuk peningkatan – Aaron

KUALA LUMPUR – Kajian Profil Membaca terhadap kadar pembacaan dan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan, demikian kata Datuk Aaron Ago Dagang.

Menteri Perpaduan Negara berkata, hasil kajian yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati, kadar pembacaan meningkat daripada dua buah buku pada tahun 2005, kepada 24 buku pada 2023.

“Kementerian melalui PNM telah melaksanakan beberapa siri Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia bagi melihat kadar pembacaan dan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Melalui kajian tersebut didapati, rakyat Malaysia membaca sekurang- kurangnya dua naskhah bagi tahun 2005, 15 naskhah bagi tahun 2014 dan terkini adalah 24 naskhah bagi tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sebelum merasmikan Karnival Baca Perdana 2024 di pusat beli belah MyTown di ibu negara hari ini.

Hasnol Zam Zam merasmikan Karnival Baca Perdana 2024 di pusat beli belah MyTown di ibu negara hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Hadir sama, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, Karnival Baca Perdana yang dijalankan bukan sahaja merupakan satu perayaan ilmu, malah menjadi platform efektif dalam mendekatkan buku serta ilmu kepada masyarakat.

“Sepanjang 2023 hingga Ogos lalu sebanyak 102,813 program pembudayaan galakan membaca dilaksanakan di seluruh negara dengan jumlah penyertaan sebanyak 3,748,409,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, kementerianya akan meneliti dan melaksanakan beberapa cadangan yang telah dikemukakan melalui kajian membaca itu.

Hasnol Zam Zam melawat reruai sempena Karnival Baca Perdana 2024 di pusat beli belah MyTown di ibu negara hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Antara dua cadangan tersebut adalah untuk mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bagi memantau tahap membaca rakyat Malaysia secara menyeluruh mulai 2025 hingga 2030.
Selain itu, Aaron berkata, Program Penebusan Baucar Buku juga akan diadakan kembali bagi merancakkan minat serta budaya membaca rakyat Malaysia.

“Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan membaca, saya mengumumkan beberapa inisiatif baharu yang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

“Antara inisiatif tersebut ialah Kem Citra Baca iaitu program berbentuk aktiviti sosial, memperkenalkan Ikon Pembaca Kebangsaan baharu, melantik Tokoh Pembaca Kebangsaan yang pertama serta mengadakan Program Kalam Karyawan iaitu Dokumentari Khas Sasterawan Negara,” ujarnya lagi.

Antara buku-buku yang dipamerkan pada Karnival Baca Perdana 2024 di pusat beli belah MyTown di ibu negara. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Aaron memohon agar PNM memanfaatkan teknologi maklumat terkini, khususnya media sosial bagi memperkukuhkan promosi inisiatif galakan membaca.

“Promosi tersebut boleh dijalankan melalui platform khusus seperti BookTok, Bookstagram, dan Booktube,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button