Berita SemasaLuar Negara

Israel ikrar balas serang Iran pada skala besar

BAITULMAQDIS – Israel berikrar akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran sebagai balasan ke atas serangan kira-kira 180 peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran malam tadi.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari dalam satu kenyataan berkata, Israel akan melancarkan serangan udara berskala besar dalam masa terdekat ke beberapa lokasi strategik termasuk ke atas negara-negara rantau itu.

“Pasukan udara terus beroperasi sepenuhnya dan malam ini ia akan terus menyerang di Asia Barat dengan lebih besar seperti yang telah berlaku sepanjang tahun lalu,” katanya.

Dalam kenyataan itu, kerajaan haram Israel turut menuduh Iran menjadi pencetus konflik yang lebih tegang di Asia Barat.

Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada malam tadi melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin-pemimpin pejuang yang disokong Tehran.

Pihak berkuasa Israel mengesahkan serangan itu dan mendakwa sejumlah besar peluru berpandu berjaya dipintas manakala penduduk ditempatkan di lokasi penyembunyian yang selamat.

Sementara itu, Israel pada pagi ini telah melancarkan serangan di kawasan selatan bandar Beirut di Lubnan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button