Erik ten Hag dikritik selepas kekalahan ManU 3-0 kepada Tottenham
MANCHESTER – Manchester United sekali lagi berdepan kekecewaan selepas tumbang 0-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Old Trafford pada Ahad.
Kekalahan itu turut diburukkan dengan insiden kad merah yang dilayangkan kepada Bruno Fernandes, memaksa United beraksi dengan 10 pemain sepanjang perlawanan.
Prestasi hambar skuad bimbingan Erik ten Hag itu menyebabkan penyokong meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap pengurus pasukan.
Pengguna Twitter, @RiddyMuppetiers, menzahirkan kekecewaan dengan berkata, Erik Ten Hag telah merosakkan minat dan kegembiraan saya dalam menonton Manchester United, dan saya tidak akan memaafkannya. Saya tak marah lagi, cuma mampu ketawa.
Pandangan ini turut dikongsi oleh @ManUtdMedia yang menulis, dia dapat penyerang, pemain tengah, pemain pertahanan dan penjaga gol yang dia mahukan… Masuk musim ketiga dan masih tiada identiti atau gaya permainan, malah taktikalnya lemah. TEN HAG OUT.
Sementara itu, @TenHagEra yang sebelum ini menyokong ten Hag kini menukar pendirian. Saya dah pertahankan kamu terlalu lama, terima ugutan bunuh untuk kamu, tapi kamu balas dengan prestasi sebegini? Memalukan.
Tidak ketinggalan, @LibanLDN yang secara ringkas menyatakan, Ten Hag dah tamat.
Personaliti terkenal, Piers Morgan, turut mengkritik ten Hag dengan menyindir, Ten Hag memang tak guna langsung.
Kekalahan terbaru ini menambah tekanan ke atas Erik ten Hag, di mana United kini telah mengalami lebih banyak kekalahan dengan perbezaan tiga gol atau lebih sejak era Sir Alex Ferguson, berbanding sepanjang 26 tahun Ferguson memimpin kelab itu.
Manchester United dijangka bertemu Porto dalam saingan Liga Europa pada pertengahan minggu ini, sebelum menentang Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini, dengan harapan Ten Hag masih mampu mempertahankan kedudukannya sebagai pengurus.