Berita Semasa

Patuhi arahan ROY, GPMS digesa buat pemilihan dalam tempoh 30 hari

PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) digesa tidak mengingkari arahan yang dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) untuk melaksanakan pemilihan ahli majlis tertinggi secepat mungkin bagi mengembalikan kepercayaan ahli dan masyarakat terhadap organisasi itu.

Mantan Presiden GPMS ke-22, Jais Abdul Karim berkata, pemilihan itu dapat memastikan kelangsungan organisasi itu berjalan dengan telus dan adil berlandaskan undang-undang serta perlembagaan GPMS.

Katanya, arahan daripada ROY adalah jelas dan sepatutnya dihormati oleh semua pihak termasuk Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi.

“Sebagai sebuah organisasi yang dihormati, GPMS digesa agar terus mengekalkan integriti dalam segala tindakan terutama melibatkan kepimpinan dan pemilihan ahli majlis tertinggi,” katanya ketika dihubungi.

Jais Abdul Karim

Media sebelum ini melaporkan kemelut isu pemilihan ahli majlis tertinggi organisasi itu perlu diselesaikan secara matang dan berintegriti.

Merujuk kepada surat dihantar ROY bertarikh 16 Julai dan 15 Ogos lalu mengesyorkan GPMS mengadakan pemilihan majlis tertinggi sebelum 16 September lalu.

Selasa lalu ROY telah mengeluarkan surat kepada GPMS mengarahkan organisasi itu mengadakan Mesyuarat Agung ke-70 (pemilihan) sesi 2024-2027 dalam tempoh 30 hari daripada surat itu dikeluarkan.

Pada hari yang sama media melaporkan, Muhd Fazreen telah hadir ke pejabat ROY pada Isnin namun beliau menafikan perjumpaan itu bertujuan membincangkan isu pemilihan ahli majlis, sebaliknya menyatakan hanya membincangkan isu pemecatan Naib Presiden 3 GPMS, Mohd Firdaus Md Radzali yang didakwa melanggar akta organisasi.

Pertemuan itu turut disertai Naib Presiden 1 GPMS, Ahmad Salman Ahmad Suhaimi; Ketua Penerangan, Ku Amirul Faiz Ku Seman dan Bendahari Agung, Shah Helmi Razali.

Jais yang juga Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, beliau merasa kesal apabila menerima laporan daripada pihak media menyatakan Presiden GPMS tidak memberi kenyataan yang betul kepada pihak media ketika mengadakan pertemuan dengan ROY pada hari tersebut.

Menurutnya, pertemuan dengan wakil ROY Isnin lalu jelas bertujuan untuk membincangkan isu pemilihan dan amat mengecewakan sekiranya isu ini tidak diambil serius atau cuba diselindungi.

Katanya, MCW memandang serius sekiranya kenyataan Presiden GPMS itu cuba melindungi isu berkenaan kerana perbuatan itu adalah salah lebih-lebih lagi dalam menyampaikan maklumat kepada pihak media.

“Sebagai organisasi yang memperjuangkan integriti dan ketelusan, MCW akan terus menyokong apa-apa langkah yang dapat membina budaya kepimpinan berintegriti dalam kalangan belia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button