PM XPolitik

Tindakan PM cabar undi tidak percaya paling ‘gentleman’

JOHOR BAHRU – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyatakan bahawa pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen adalah langkah paling ‘cool’ dan berperlembagaan.

Sheikh Umar berkata, tindakan Anwar yang mengajak pembangkang untuk berdepan secara terbuka di Parlimen menunjukkan sifat ‘gentleman’ dan bertanggungjawab sebagai pemimpin negara.

“Ini adalah pendekatan yang paling ‘cool’ dilakukan oleh seorang Perdana Menteri. Sebaliknya, langkah yang tidak ‘cool’ ialah seperti tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengakui bahawa beliau memainkan peranan dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Beliau turut memetik laporan pada Oktober 2022 yang mendedahkan pengakuan Hadi bahawa beliau terlibat dalam perancangan tersebut yang kemudian mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sheikh Umar menyamakan tindakan itu dengan taktik ‘tebuk atap’ iaitu menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang tanpa berdepan secara langsung.

“Ini adalah cara yang selekeh dan tidak ‘cool’,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyatakan bahawa PAS tidak merancang untuk menjatuhkan kerajaan dan hanya mengetahui perubahan itu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

“Mengikut pengakuan Hadi, beliau memulakan langkah tersebut. Jadi, adakah Timbalan Presiden tidak tahu apa-apa mengenai perancangan Presidennya sendiri?

“Sekarang, saya ingin bertanya semula kepada Ustaz Tuan Ibrahim, adakah tindakan Presidennya itu ‘cool’ atau tidak ‘cool’?,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, langkah undi tidak percaya yang dicadangkan oleh Anwar adalah lebih baik dan demokratik berbanding usaha menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak beretika.

Show More

Related Articles

Back to top button