‘Counter Setting’: Sindiket dipercayai bawa masuk warga asing guna pas pelancong
PUTRAJAYA – Penggunaan visa pelancong dipercayai menjadi modus operandi sindiket ‘Counter Setting’ yang membawa masuk pekerja warga asing ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LIA) yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Sumber mendedahkan, kumpulan warga asing khususnya daripada Bangladesh, Nepal, Myanmar dan beberapa negara lain dipercayai masuk ke negara ini tanpa menggunakan sistem sedia ada.
Katanya, warga asing berkenaan masuk ke negara ini tanpa melalui Pengurusan Sistem Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sebaliknya hanya menggunakan visa pelancong.
“Ini merupakan modus operandi yang membuka jalan kepada kegiatan “counter setting” di mana sindiket membayar wang rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa seterusnya menyebabkan berlakunya isu warga asing yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh sah, bekerja tanpa permit kerja yang sah dan mengelak senarai hitam (blacklist) dalam negara
“Sindiket ini tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di negara ini,” kata sumber.
Penyalahgunaan visa pelancong untuk bekerja dalam kalangan warga asing di negara ini dikenal pasti sangat berleluasa.
Menurut sumber, jumlah bayaran yang dikenakan kepada kumpulan warga asing yang ingin memohon permit kerja ke negara ini adalah sekitar RM6,000 sehingga RM12,000.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara ini.