Counter Setting’ : Dalang utama sindiket direman SPRM
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang suspek utama yang dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk udara negara menggunakan taktik ‘Counter Setting’.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 28 September 2024 itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Sabri Ismail di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai bekerjasama dengan ejen sindiket untuk membawa masuk warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan KLIA2.
“Suspek sebelum itu ditahan oleh SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lalu dan telah direman sehingga 23 September 2024 setelah permohonan dibuat di Mahkamah Sivil Seremban,” kata sumber berkenaan.
Semalam, suspek dibawa ke Pejabat SPRM Selangor untuk membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang berkaitan dengan kesalahan rasuah.