TPM Zahid mahu semua ekspo produk halal ditempatkan dalam ruang kerja yang sama
BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu ekspo produk halal di negara ini ditempatkan dalam ruang kerja yang sama, sekali gus meningkatkan impak dan kecekapannya.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, di negara ini, terdapat pelbagai ekspo produk halal seperti Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Halal Fiesta Malaysia (Halfest) dan Karnival Usahawan Desa (KUD).
Justeru itu, Ahmad Zahid berkata, menerusi penyelerasan tersebut, pasaran produk halal di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dipenuhi.
“Cara terbaik adalah dengan mengumpulkan semua pempamer dan pengeluar produk halal di satu tempat dan jemput peniaga luar negara, agar padanan perniagaan (B2B) dilakukan dan menggali potensi untuk produk dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Himpunan Usahawan anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Pusat Konvensyen Bangi hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid menambah, pemain industri produk halal di negara ini tidak semestinya perlu memberi fokus kepada produk akhir, sebaliknya mereka boleh meneroka bahan yang dikeluarkan secara Pengilang Peralatan Tulen (OEM).
Katanya, ia boleh didapati di DPIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan persatuan lain yang mampu meningkatkan pengeluaran produk dalam pasaran antarabangsa.
“Jangan membunuh antara satu sama lain dengan produk yang sama, pasaran yang sama. Mesti jalinkan kerjasama agar produk-produk disatukan dengan jenama yang sama, tapi dipasarkan di peringkat antarabangsa kerana permintaan di luar lebih besar daripada permintaan dalaman,” tambahnya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyeru usahawan Malaysia untuk merebut peluang dalam industri halal yang ketika ini mempunyai nilai eksport sebanyak RM53.72 billion.