‘Ada syarikat dapat projek pembangunan internet, tapi jual pada syarikat lain’ – Fahmi
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mendapati ada syarikat yang memperoleh projek pembangunan dan menaik taraf internet, tetapi menjualnya kepada pihak lain.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan tidak bertanggung jawab itu menyebabkan projek tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti serta melaksanakan penambahbaikan kepada pelaksanaan projek berkenaan.
“Ada di beberapa tempat dan setelah mereka dapat kontrak, mereka tak laksanakan sehingga kami bagi amaran yang paling keras malah saya lihat dia yang dapat (projek) tapi dia mengaku dia jual kepada syarikat lain, macam mana syarikat itu dapat dahulu?
“Malangnya banyak keputusan ini sebelum saya, Timbalan Menteri Komunikasi (Teo Nie Ching) dan KSU masuk ke kementerian ini. Kami tidak tahu bagaimana keputusan itu dibuat.
“Kita telah minta mereka supaya mempercepatkan proses sekiranya mereka gagal maka ada tindakan berpandukan undang-undang yang boleh diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Tambahnya, kementerian kini sedang mempertimbang untuk menyenaraihitamkan syarikat yang gagal melaksanakan projek pembangunan dan menaik taraf internet dalam garis masa ditetapkan.
Tindakan tersebut, katanya, adalah bagi memastikan projek berkenaan diurus dengan baik bagi mengelak ketirisan dan kelewatan kerana membabitkan duit rakyat.
“Bila ada orang mengadu masalah internet tiada, mereka salahkan saya, Timbalan Menteri dan kementerian tapi sejujurnya kesilapan itu ataupun sebahagian daripada masalah adalah kepada kontraktor yang telah dilantik, syarikat yang telah menerima kontrak untuk projek tersebut,” katanya lagi.