Tuduhan kerajaan restui krisis nilai memesong fakta ilmiah
PUTRAJAYA – Dakwaan Perwakilan PAS Selangor, Sabirin Marsono yang menuduh Kerajaan Madani merestui pelbagai krisis nilai yang berlaku dalam negara hari ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhamad Razak Idris berkata, pandangan yang dilontarkan oleh Sabirin semasa menyampaikan ucapan di Muktamar Tahunan PAS di Temerloh, baru-baru ini bersifat simplistik dan terbabas daripada fakta ilmiah yang sebenar.
Beliau berkata, krisis nilai yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah antara isu-isu semasa yang sedang dihadapi oleh umat Islam kesan dari kemunduran ilmu dan peradaban ummah sejak berabad-abad yang lalu.
“Para sarjana dan gerakan Islam seluruh dunia memperakui cabaran semasa yang dihadapi ummah tersebut dan telah membangun pelbagai benteng ilmiah, budaya serta institusi bagi mendepani cabaran semasa demi memelihara jatidiri ketamadunan ummah.
“Ia juga disumbangkan oleh faktor penularan budaya asing kesan globalisasi dan fenomena dunia tanpa sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahkan katanya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pentadbiran Kerajaan Madani bagi membangun peradaban yang maju serta progresif berteraskan prinsip nilai dan akhlak yang luhur berteraskan nilai-nilai Malaysia Madani.
“Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) misalnya sedang gigih melaksanakan perancangan pembangunan ummah secara syumul menerusi Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) 2023-2027,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Muhamad Razak menyeru umat Islam supaya berwaspada terhadap sebarang kenyataan tidak bertanggungjawab yang mahu mencemar dan memesongkan pemikiran masyarakat terhadap usaha luhur dan murni kerajaan memperkasakan ummah.