Jenayah & Mahkamah

Yusoff Rawther dituduh edar kanabis

Berdepan hukuman penjara seumur hidup

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis.

Menurut portal SH Online, tertuduh, 31, yang memakai baju-T berwarna hitam dalam keadaan bergari, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret S Arunjothy.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada puku 10.15 pagi, 6 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 November depan untuk laporan kimia berhubung kes tersebut.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Muhammed Yusoff berhubung penemuan dua pistol tiruan dan ganja.

Susulan itu beliau berkata, suspek ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lalu.

Muhammad Yusoff meletakkan jawatan sebagai pembantu penyelidik Anwar pada 24 Jun 2019.

Show More

Related Articles

Back to top button