Berita Semasa

Isu pensijilan halal hanya kebimbangan Teresa Kok – Anthony Loke

IPOH – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kenyataan Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal dibuat mewakili kebimbangan peniaga bukan Islam.

Loke berkata, kenyataan oleh Naib Pengerusi DAP itu mewakili suara pengusaha perniagaan restoran bukan Islam yang bimbang mereka akan diwajibkan mendapatkan pensijilan halal.

“Ia adalah menjadi tanggungjawab beliau (Teresa) untuk menyatakan pandangan yang mungkin disuarakan oleh pengundi-pengundinya.

“Saya rasa ia hanya satu kebimbangan bahawa perkara itu akan menjadi peraturan yang membebankan,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak di sini, hari ini.

Teresa semalam berpendapat pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi pemilik restoran yang mahu mendapatkannya dan tidak perlu dilakukan secara paksa.

Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang menyfiatkan Teresa tidak faham isu halal.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan kenyataan Teresa sebagai tidak membantu kerajaan menjernihkan keadaan.

Show More

Related Articles

Back to top button