Jenayah & Mahkamah

Polis tahan lelaki didakwa fitnah anggota polis terbunuh dalam serangan di Ulu Tiram

IPOH – Seorang lelaki ditahan berkaitan hantaran komen berbaur fitnah menerusi media sosial terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata pihaknya menerima laporan mengenai dakwaan fitnah berkenaan daripada waris keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah menahan lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pemilik akaun Facebook berkenaan di sebuah rumah di Masai, Johor pada 8 malam, kelmarin.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang bekerja di sebuah kilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut dalam serangan berkenaan.

Selain Ahmad Azza Fahmi, 22, kejadian itu turut mengorbankan Muhamad Syafiq, 24 yang ketika itu masing-masing berpangkat konstabel dan kedua-duanya dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Koperal pada 14 Jun lalu.

Terdahulu, dalam hantaran komen tular di media sosial itu, seorang pemilik akaun menggunakan nama ‘Wan Qayyum’ dipercayai suspek menulis komen mendakwa mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.

Show More

Related Articles

Back to top button