Langar piawaian, kontrak pengusaha kantin MRSM Taiping ditamatkan serta merta – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Kontrak yang diberikan terhadap sebuah syarikat pengusaha kantin di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, Perak akan ditamatkan serta merta susulan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu komen dalam satu hantaran video dalam laman Facebooknya hari ini.
“Memang akan terminate. No compromise! Bahkan saya dah arahkan Bahagian Undang-undang MARA untuk ambil tindakan perundangan,” katanya.
Terdahulu tular video perbualan antara Asyraf Wajdi dan pengusaha kantin tersebut susulan laporan daripada ibu bapa pelajar apabila terdapat kes keracunan makanan yang melibatkan seramai 31 orang pelajar pada 30 Ogos lalu sehingga ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital.
Bertindak di atas laporan itu, Pengerusi MARA itu telah melakukan lawatan mengejut ke MRSM Taiping dan mendapati dewan selera itu tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.
Antaranya pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap yang tidak memuaskan.