Berita Semasa

3 penyampai radio Era buat kejutan, muncul sebagai penguat kuasa Maritim Malaysia

PUTRAJAYA – Tiga selebriti tempatan Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy membuat kejutan apabila muncul sebagai ‘penguat kuasa’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 hari ini.

Kehadiran penyampai pagi stesen radio Era itu telah mendapat perhatian orang ramai apabila ketiga-tiga mereka mengenakan uniform celoreng digital milik Maritim Malaysia.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, penyertaan ketiga-ketiga selebriti berkenaan merupakan elemen kejutan Maritim Malaysia pada tahun ini bagi menonjolkan peranan Maritim Malaysia sebagai sebuah pasukan keselamatan barisan hadapan di Zon Maritim Malaysia.

“Kehadiran ketiga-ketiga selebriti berkenaan diharap menjadi pembakar semangat kepada golongan belia dalam menyemarakkan semangat patrotisme dan cintakan negara selain pesona yang ditampilkan bakal menarik minat golongan berkenaan menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pagi tadi Saiful Lizan menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 yang telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Dataran Putrajaya di sini.

Hadir sama pada sambutan berkenaan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kanan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Terdahulu seawal jam 6.30 pagi Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1 dan Bot Petir
83 telah menjadi tarikan orang ramai apabila kelibat ketiga-tiga selebriti berkenaan dilihat berada di atas aset milik Maritim Malaysia itu dengan berpakaian penguat kuasa Maritim Malaysia.

Selain menghasilkan kandungan media sosial sempena Hari Kebangsaan Ke-67,
ketiga-tiga selebriti berkenaan juga mengadakan sesi meet and greet bersama peminat di samping mengedarkan cenderahati Maritim Malaysia kepada orang ramai yang hadir ke sambutan tersebut

Kemeriahan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini turut diwarnai dengan penyertaan Mobile Surveillance Unit (MSU) yang merupakan sistem pengawasan bergerak milik Maritim Malaysia di samping sebuah aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin yang turut melakukan flying pass bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.

Bukan itu sahaja seramai 350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Maritim Malaysia turut menyertai perbarisan bersama lebih 80 kontinjen lain bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini.

Show More

Related Articles

Back to top button