Berita Semasa

Tanah mendap : Institusi Jurutera Malaysia gesa libatkan jurutera profesional

KUALA LUMPUR – Institusi Jurutera Malaysia (IEM) menggesa siasatan menyeluruh terhadap insiden tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India baru-baru bagi mengelak kejadian sama berulang.

Presidennya, Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin berkata, selain siasatan dan pemeriksaan, sebarang langkah keselamatan yang ketat perlu melibatkan jurutera profesional terutama yang pakar dalam reka bentuk, pembinaan dan penyeliaan infrastruktur.

Dalam satu kenyataan, IEM mengesyorkan tindakan segera diambil bagi menstabilkan semula kawasan terjejas dengan input daripada jurutera profesional dan untuk meneliti semula utiliti bawah tanah berdekatan bagi mengurangkan potensi risiko.

“Berdasarkan pemerhatian menerusi Peta Google, lokasi tanah jerlus itu terletak adalah kira-kira 24 meter dari Sungai Klang.

“Merujuk kepada foto dan video daripada media, insiden ini berkemungkinan dikaitkan dengan utiliti,” katanya.

Justeru Choong Luin menggesa pihak berkuasa berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kejuruteraan profesional dan pihak berkepentingan lain untuk menjalankan siasatan yang komprehensif dan telus.

Katanya, IEM juga sedia menawarkan kepakaran profesional bagi membantu siasatan berhubung kes tanah jerlus itu.

Beliau berkata, walapun punca kejadian masih belum ditentukan, IEM menekankan pentingnya piawaian kejuruteraan yang ketat dan amalan penyelenggaraan utiliti bawah tanah terbaik.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, seorang wanita warga India terjatuh ke dalam lubang yang terbentuk selepas berlaku mendapan tanah di laluan jalan kaki di Jalan Masjid India, di sini.

Mangsa yang berusia 48 tahun masih belum ditemui sehingga hari ini ekoran kesukaran proses mencari dan menyelamat (SAR) pihak berkuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button