Berita SemasaJenayah & Mahkamah

SPRM tumpas sindiket rasuah pengubahsuaian meter elektrik

PUTRAJAYA – Lima individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket meminta wang rasuah bagi melindungi aktiviti pengubahsuaian meter elektrik di sekitar Lembah Klang.

Sumber mendedahkan, lima individu berusia antara 20 hingga 30-an termasuk seorang wanita itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur semalam.

Susulan penahanan itu, Majistret Nadiah Abd Razak membenarkan empat suspek lelaki direman selama enam hari sehingga 27 Ogos 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, modus operandi sindiket adalah meminta mangsa membayar antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk mengelak denda yang jauh lebih tinggi.

“Mangsa diugut akan dikenakan tindakan saman dengan nilai puluhan ribu ringgit jika enggan membayar rasuah bagi melindungi kesalahan ini.

“Jumlah wang rasuah dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap premis yang diperiksa bergantung sama ada premis kediaman atau perniagaan,” katanya.

Sumber berkata, dalang sindiket berusia 30-an dan dua ahli kumpulan lain merupakan kontraktor syarikat pembekal tenaga elektrik bagi kerja-kerja memotong bekalan elektrik.

Manakala dua orang lain merupakan individu yang terlibat mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa yang dikenal pasti sindiket.

Hasil soal siasat turut mendapati sindiket ini telah mengaut ratusan ribu ringgit yang melibatkan ribuan mangsa di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak lebih ramai lagi anggota sindiket akan ditangkap dan dipercayai sindiket ini telah beroperasi lebih setahun.

Beliau menggesa orang ramai yang menjadi mangsa sindiket itu melaporkan kes dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, R Kumaran di talian 03 – 8891 1657.

Show More

Related Articles

Back to top button