Puteri UMNO tambah keahlian lebih 18,000
Bukti sayap Puteri relevan, ada peranan dalam situasi politik negara
KUALA LUMPUR – Pertambahan keahlian Puteri UMNO sebanyak 18,216 ahli baharu dalam tempoh setahun membuktikan bahawa sayap berkenaan masih relevan dan mempunyai peranan dalam situasi politik negara.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pertambahan turut diterjemahkan kepada angka cawangan Puteri kepada 378 pada tahun ini.
“Dengan rasa bangga dan teruja, ingin dimaklumkan bahawa kita (Puteri UMNO) turut ada penambahan cawangan Puteri UMNO iaitu sebanyak 378 yang berjaya bersidang pada tahun ini.
“Tahniah diucapkan kepada Puteri UMNO atas usaha cemerlang ini. Along (Nurul Amal) amat berbangga dengan kamu atas hasil usaha keras.
“Ini adalah tanda bahawa Puteri masih menyinar dan insya Allah, sayap ini terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.
Nurul Amal berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Nurul Amal turut memberitahu, sayap Puteri UMNO turut berjaya melaksanakan lebih 89 program untuk pelbagai golongan dan memberi impak kepada wanita muda di seluruh negara.
Katanya, ia termasuk program-program berkaitan pengukuhan akar umbi, ekonomi, kerohanian dan lain-lain.
“Lebih membanggakan, Puteri UMNO juga bekerjsama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan acara-acara yang lebih menepati cita rasa generasi masa kini merangkumi pelbagai aspek.
“Kesemua program ini telah dikelola secara khusus oleh UMNO untuk menepati kehendak wanita muda dan merangkumi keperluan zaman,” katanya lagi.