Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Transformasi modal insan kunci kejayaan koperasi di era digital

KUALA LUMPUR – Perkembangan era digital menyaksikan pelbagai sektor perniagaan dan industri berdepan cabaran yang memerlukan transformasi dari aspek pengurusan dan pembangunan modal insan.

Tanpa adaptasi, langkah-langkah yang progresif dan berinovasi, sesebuah institusi perniagaan pasti sukar untuk kekal relevan dan berdaya saing.

Menyedari keperluan yang kian mendesak, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) kini memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan modal insan dalam usaha meningkatkan keupayaan yang mencakupi aspek kemahiran, pengurusan operasi dan kompetensi.

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, seperti juga syarikat dan badan perniagaan yang lain, institusi koperasi di negara ini tidak terlepas daripada keperluan melakukan transformasi.

Katanya, tumpuan utama pihaknya adalah menyediakan kemahiran ekonomi digital kepada koperasi dan koperator seperti e-dagang, kecerdasan buatan (AI) data raya (big data) sehinggalah kepada teknologi blockchain.

Beberapa program turut dirangka bagi membolehkan aspek digitalisasi diterapkan oleh koperasi selaras Dasar Koperasi Malaysia 2030.
Kursus serta latihan berkait ekosistem ekonomi digital sebagai persediaan usahawan dan ahli koperasi melangkah lebih jauh.

Selain itu katanya, terdapat juga program bimbingan selama 12 bulan yang memberi pendedahan tentang sistem pengurusan aset, platform tempahan, pembayaran dalam talian serta pengurusan rekod secara digital menggunakan teknologi cloud.

Latihan dan juga kursus yang disediakan itu katanya sebahagian daripada usaha meningkatkan kompetensi dan kebolehan untuk bersaing dalam pasaran perniagaan yang lebih besar.

“Beberapa program telah dirangka bagi membolehkan aspek digitalisasi diterapkan oleh koperasi selaras Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030.

“Pada tahun ini, kita akan latih 50 koperasi untuk melihat penguasaan lebih baik dari aspek pendigitalan baik dari cara pengurusan perniagaan sehinggalah kaedah pemasaran.

“Tanpa anjakan seperti ini, koperasi kita akan terperangkap di takuk lama, sedangkan kita (koperasi) mempunyai potensi perniagaan yang hebat,” katanya.

Penganjuran International Cooperative Conference pada Mei lalu membuktikan komitman IKMa dalam memperkasakan sektor koperasi negara.

Sehubungan itu katanya, IKMa sebagai badan utama yang bertanggungjawab dalam pengembangan sektor koperasi perlu memainkan peranan dengan menyusun program latihan secara berterusan.

Mohd Ali berkata, pihaknya juga terlibat dalam pengembangan kemahiran yang diperlukan ahli koperasi bersesuaian dengan perkembangan teknologi dari semasa ke semasa.

“Misalnya keperluan terhadap mengurus dan menganalisa data secara berkesan untuk tindakan perniagaan yang lebih efisien, jimat dan mematuhi undang-undang berkait dengan privasi data yang semakin ketat,” tambahnya.

Tambah beliau, program-program yang disediakan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan koperasi tetapi juga untuk menarik penglibatan golongan muda dalam sektor itu yang setakat ini masih kecil​.

“Selain berdepan dengan cabaran kadar keaktifan koperasi kita juga menghadapi masalah penglibatan generasi muda yang masih terlalu kecil,” katanya.

Mohd Ali turut memaklumkan pihaknya juga sedang menjalinkan kerjasama dengan agensi seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi memperkasakan modal insan sektor koperasi di seluruh negara.

Program Bicara Ilmu yang membincangkan pendigitalan pengurusan pentadbiran yang memberi kelebihan dari segi kecekapan kerja.

Show More

Related Articles

Back to top button