Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Ibu tunggal ditawar RM1 juta untuk kandungkan anak ‘Datuk Seri’

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal berusia 46 tahun mendakwa mengalami tekanan perasaan dan trauma akibat diganggu oleh seorang lelaki berpangkat ‘Datuk Seri’ yang dikenalinya sejak tujuh tahun lalu.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chan itu mendakwa lelaki berusia 50-an berkenaan telah melakukan pelbagai perkara yang menceroboh privasinya termasuk mengirim gambar berunsur seksual.

Bahkan katanyaa, ahli perniagaan yang sudah beristeri itu juga pernah menawarkan wang berjumlah RM1 juta kepada Chan sekiranya dia bersetuju untuk mengandungkan anaknya.

Chan yang bekerja sebagai ejen hartanah mendedahkan perkara itu ketika membuat aduan di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, di sini, hari ini.

Aduan diterima oleh Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong dan Penasihat Undang-Undang jabatan itu, Marcus Chong.

Menurut Chan, pada peringkat awal perkenalan, dia selesa dengan lelaki berkenaan namun lama-kelamaan lelaki tersebut mula menunjukkan sikap agresif menyebabkan dia mula menjauhkan diri.

Bagaimanapun katanya, tindakan lelaki berkenaan menjadi semakin tidak ‘normal’ apabila kerap menghubungi melalui telefon dan emel, malah menghantar makanan dan bunga ke rumahnya.

“Dia sudah berumahtangga tetapi masih mahu mengganggu saya dengan mengirim makanan dan bunga, bahkan saya terpaksa menutup akaun bank saya kerana dia pernah beberapa kali memasukkan wang ke akaun itu.

“Saya tidak selesa dan terganggu dengan tindakannya dan sentiasa memikirkan keselamatan saya sekeluarga.

“Apa saya harapkan dia tidak akan mengganggu saya lagi,” katanya yang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya lelaki berkenaan masih mengganggunya.

Show More

Related Articles

Back to top button