Politik

ADUN PN Pahang zahir sokongan titah Tengku Mahkota siasat Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang Perikatan Nasional (PN) menyokong titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mahu siasatan dijalankan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataanya semasa berkempen di Nenggiri baru-baru ini.

Menurut Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ADUN PN Pahang menzahirkan taat setia kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota dalam menjalankan tugas Baginda sebagai Payung tempat mereka bernaung.

“ADUN Perikatan Nasional Pahang menyokong penuh Titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap Titah Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz, Kuantan, Tengku Hassanal menzahirkan rasa murka dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dikatakan memperlekeh serta mempertikai peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Justeru itu, Tengku Hassanal mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara terang-terangan menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R).

Tengku Hassanal bertitah, kenyataan Presiden Bersatu itu sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Selain itu, Baginda turut menyifatkan kenyataan Pengerusi PN itu sebagai tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Titah baginda dalam kenyataan tersebut, tindakan Muhyiddin itu adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

Terdahulu, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan di Balai Polis Kuantan.

Show More

Related Articles

Back to top button