Jenayah & Mahkamah

Imigresen tewaskan sindiket tawar perkhidmatan ejen haram

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menewaskan sindiket yang menawarkan perkhidmatan ejen haram yang mensasarkan warga China yang ingin mendapatkan kemudahan pemanjangan tempoh Pas Lawatan Sosial.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket tersebut ditumpaskan menerusi satu operasi khas yang dijalankan pada 15 Ogos lepas di tujuh lokasi iaitu Cheras, Mid Valley City, Desa Pandan, Taman Midah, Sungai Besi di Kuala Lumpur, Sepang di Selangor dan Bandar Enstek di Negeri Sembilan.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah berjaya menahan empat lelaki tempatan yang mana dua daripada mereka adalah dalang utama sindiket ini.

“Turut ditahan, dua wanita warga China disyaki sebagai ahli sindiket, seorang lelaki warga China disyaki pelanggan, dan seorang wanita warga Filipina dipercayai pembantu rumah salah seorang dalang utama sindiket,” kata Ruslin dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Tambahnya, semakan awal mendapati, kesemua warganegara asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Susulan operasi, kata Ruslin, pihaknya turut merampas 107 pasport antarabangsa pelbagai negara yang terdiri daripada 100 naskhah pasport China, Thailand (3), Taiwan (2) dan masing-masing satu pasport Republik Vanuatu dan Dominica, borang permohonan Pas Lawatan JIM, dan wang tunai yang terdiri daripada matawang ringgit bernilai RM57,260.00 dan matawang Bhat Thailand ฿29,660.00 (RM3,774.79).

Turut disita, lima buah kenderaan yang terdiri daripada dua kereta BMW, dan masing-masing sebuah Volkswagen, Perodua Myvi dan Suzuki Swift.

Jelas Ruslin, modus operandi sindiket dipercayai sudah beroperasi selama sebulan itu adalah menawarkan perkhidmatan mendapatkan kemudahan imigresen, dan menggunakan media sosial bagi menawarkan perkhidmatan mereka.

“Kadar bayaran yang dikenakan bermula RM1,200.00 bagi Pas Khas (Special Pass) dan boleh mencecah sehingga RM15,000 bagi kemudahan mendapatkan Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang,” kata Ruslin.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak pernah melantik sebarang ejen sebagai perantara perkhidmatan yang kami berikan.

“Buat masa ini, kami sedang melakukan siasatan menyeluruh bagi mendapatkan butiran terperinci mengenai kegiatan sindiket ini,” katanya lagi.

Kesemua warga Malaysia dan dua warga China ditahan disiasat mengikut Sek.12(1) Akta Pasport 1966, manakala seorang warga lelaki China dan wanita warga Filipina disiasat mengikut Seksyen 6(1(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ketika ditanya sama ada sindiket ini turut melibatkan kakitangan Imigresen, Ruslin berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan kerana siasatan lanjut masih dilaksanakan.

“Tetapi saya memberi jaminan, sekiranya kami menemukan penglibatan kakitangan Imigresen (dalam kes ini), individu terlibat akan berhadapan tindakan tegas,” tegas Ruslin.

Show More

Related Articles

Back to top button