Selisih faham pinjam motosikal, lelaki cedera ditikam
KAJANG – Seorang lelaki berusia 23 tahun cedera setelah ditikam kenalannya dalam satu kejadian di Semenyih, dekat sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada selisih faham apabila suspek gagal memulangkan motosikal mangsa yang dipinjam, bulan lalu.
“Semasa pertemuan di rumah kakak mangsa, akibat dimarahi, suspek mengambil pisau di dapur rumah dan mengejar lalu mencederakan mangsa.
“Pemeriksaan dapati mangsa mengalami kecederaan tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu lagi di bahu sebelah kiri.
“Bagaimanapun, mangsa yang dalam keadaan sedar dan stabil, kini ditahan di Wad Hospital Kajang bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau kedua-duanya sekali.
“Suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian itu atau maklumat berkenaan suspek boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407.