Jenayah & Mahkamah

Suspek kes bunuh, bakar tiga ahli keluarga direman tujuh hari

MUAR – Suspek yang disyaki cuba menyembunyikan pembunuhan ibu bapa serta anak saudaranya dengan membakar sebuah rumah di Kampung Paya Redan di Pagoh, Jumaat lalu, direman di Mahkamah Majistret Muar, di sini hari ini.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret, Fatin Dalilah Khalid.

Suspek yang menjadi buruan polis itu berjaya ditahan selepas lima hari menghilangkan diri dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar pagi tadi dengan dikawal ketat pegawai dan anggota polis.

Lelaki yang masih bujang itu difahamkan berjaya dicekup ketika merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekitar pukul 1 pagi tadi.

Penahanan itu dibuat sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.

Difahamkan, suspek melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditungganginya di Hentian Bas Bentayan, di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Laporan media sebelum ini menyebut, pasangan warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin,82, dan Ara Abdul Hamid,76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 Kanun Keseksaan selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut selepas proses bedah siasat dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button