Cubre Mi fail saman terhadap bekas ejen didakwa buat fitnah di media sosial
BANGI – Syarikat kosmetik Cubre Mi Sdn. Bhd. (Cubre Mi) bertindak memfailkan saman terhadap seorang bekas ejennya susulan memfitnah syarikat itu melalui platform media sosial pada April lalu.
Peguam yang mewakili syarikat itu, Datuk Adnan Seman, berkata, saman tersebut difailkan pada 24 Jun 2024 dengan 20 Ogos ini ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.
“Saman ini berkaitan penerbitan kenyataan oleh defendan pada 18 April 2024 di Facebook, yang mendakwa ibu pejabat Cubre Mi menganiaya defendan dengan menjual produk pada harga lebih rendah daripada harga runcit,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Hadir sama, Pengasas Cubre Mi, Afzalizah Nizam Azizan.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, hantaran yang diterbitkan defendan yang ketika itu merupakan ketua ejen telah memberikan imej buruk terhadap reputasi anak guamnya.
“Defendan yang disaman juga telah memfailkan pembelaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Adnan menjelaskan, anak guamnya mendakwa, harga rendah yang ditawarkan adalah untuk jangka masa yang singkat, khusus bagi produk yang mengalami kecacatan pada bungkusan atau hampir tamat tarikh luput.
“Langkah ini juga bertujuan memperkenalkan produk tersebut kepada lebih ramai pengguna dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya lagi.