Berita Semasa

Teruskan bawa momentum sokongan terhadap atlet negara pada Bulan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

PUTRAJAYA – Semangat dan sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap atlet negara yang bertanding dalam Sukan Olimpik Paris 2023 membuktikan sukan merupakan wadah perpaduan.

Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, biarpun berlainan fahaman politik, berbeza agama dan bangsa namun ketika menyokong pasukan Malaysia di pentas dunia, tembok yang tebal itu boleh dihapuskan.

“Lebih-lebih lagi ini dapat dilihat di platform media sosial menerusi sokongan dan dukungan yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya kepada para atlet negara. Perpaduan sememangnya kekuatan kita,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.

Dalam pada itu, beliau berharap momentum positif itu dapat diteruskan sempena Bulan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Katanya, media sosial perlu dijadikan platform bagi menyebarkan bunga-bunga perpaduan dan keharmonian.

Beliau berkata, ini kerana media sosial mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk semangat perpaduan, kebersamaan, muhibbah dan integrasi nasional.

“Kebudayaan masyarakat Malaysia walaupun berbeza, mempunyai asas yang sama iaitu membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik.

“Penghayatan nilai-nilai murni oleh masyarakat majmuk perlu diteruskan terutamanya yang terdapat dalam ajaran agama masing-masing. Gunakan media sosial untuk kebaikan bersama,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button