Menteri Pertanian beri jaminan Isu CPTPP dibawa ke mesyuarat Kabinet
PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memberi jaminan akan membawa enam tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) ke mesyuarat Kabinet.
Menurut Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad, CPTPP akan memberi kesan negatif kepada petani, nelayan dan penternak tempatan.
Katanya, Mohamad juga memaklumkan akan berhubung lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mendesak supaya ratifikasi CPTPP ditarik balik.
“Tapi keputusan ini adalah keputusan Perdana Menteri dan Kabinet, bukan MITI, jadi PM perlu respons terhadap isu ini.
“Jadi menteri juga nyatakan komitmen untuk bawa isu tuntutan kami ini ke mesyuarat Kabinet nanti,” katanya kepada media selepas pertemuan hampir sejam bersama Mohamad.
Yang hadir sama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan wakil 54 organisasi daripada organisasi petani, penternak dan nelayan serta organisasi pengguna, alam sekitar dan ekonomi serta keusahawanan.
Terdahulu Nurfitri mewakili NGO menyerahkan memorandum berkenaan kepada Mohamad sebaik tiba di lobi kementerian di sini, pagi tadi.
Mohamad kemudian memaklumkan akan mendengar dan meneliti tuntutan terbabit sebelum beredar ke pejabatnya.