Berita Semasa

Tipu sijil: Seorang peserta Felo Perdana MITI ditamatkan program

PUTRAJAYA – Seorang peserta Program Felo Perdana yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ditamatkan daripada menyertai program itu selepas didapati mengemukakan sijil palsu.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, langkah itu diambil kerana peserta itu telah melanggar terma perjanjian program.

“Pelajar universiti awam di ibu negara ini telah menyenaraikan beberapa pencapaian semasa permohonan program Felo Perdana.

“Namun bagi salah satu pencapaian yang disenaraikan, setelah disemak dengan lebih lanjut bersama penganjur, adalah didapati bahawa sijil yang dikemukakan tidak tulen.

“Justeru berkaitan isu ini, beliau akan ditamatkan dari menyertai program Felo Perdana kerana telah melanggar terma perjanjian program. Walau bagaimanapun, beliau akan ditawarkan untuk mengikuti sesi kaunseling,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KBS akan memulakan siasatan untuk emastikan pelaksanaan program ini dikukuhkan lagi pada masa adapan.

Katanya, KS sentiasa mendukung usaha kerajaan dalam terus memantapkan tatakelola yang baik dalam semua program kerajaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketirisan dalam hal ini.

Sejak semalam tular seorang peserta program itu didapati menipu sijil dengan menyertai satu kejohanan dunia pada tahun lalu.

Ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 peserta yang sama juga mengejutkan seluruh negara apabila mendakwa menerima biasiswa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) bagaimanapun selepas beberapa ketika, pelajar berkenaan tampil dengan mendakwa berlaku salah faham dan mendakwa menjadi mangsa ‘scammer’.

Show More

Related Articles

Back to top button