Hutang negara dijangka turun dalam tiga tahun lagi
KUALA LUMPUR – Kesan penurunan jumlah keseluruhan hutang negara dijangka dapat dilihat pada tahun 2027, kesan daripada peralihan pentadbiran oleh Kerajaan Perpaduan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengurangan hutang dengan jumlah yang besar memerlukan satu tempoh ‘matang’ iaitu antara tiga hingga lima tahun untuk menampakkan kesannya.
Katanya, perkara itu disebabkan oleh profail hutang negara yang terkumpul setiap tahun iaitu RM78 bilion pada 2023, RM97 bilion (2024), RM89 bilion (2025) dan RM97 bilion (2026).
Dan setakat dua tahun pentadbiran ini katanya, kerajaan telah berjaya menurunkan jumlah hutang baharu sebanyak RM14 bilion, iaitu RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM100 bilion dalam 2022.
“Hutang baru yang diambil kerajaan dijangka turun kepada RM86 bilion untuk 2024, berbanding RM93 bilion dalam 2023 dan RM100 bilion dalam 2022.
“Saya selalu terangkan bahawa pada ketika kerajaan komited kurangkan hutang baru setiap tahun, kita masih perlu membayar hutang-hutang yang diwarisi.
“Jadi jumlah hutang tahunan itu perlu mengambil kira bayaran hutang terdahulu setiap tahun.
“Tempoh matang hutang kerajaan selalunya antara 3 ke 5 tahun, ada yang lagi panjang dari itu,” katanya dalam hantaran di aplikasi X hari ini.
Tambah beliau, sekiranya sasaran prestasi itu dikekalkan, jumlah hutang keseluruhan negara akan mula menurun bermula 2027 dan ke atas apabila jumlah hutang terdahulu mula matang dan berkurang.
Justeru, katanya, prestasi mengurangkan hutang perlu diteliti juga dari segi jumlah baru hutang tahun yang diambil oleh pentadbiran sekarang, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi sebaliknya mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak memperlekehkan usaha kerajaan mengurangkan hutang sekiranya tidak faham mengenai perkara itu.
“Setiap kali kerajaan berkongsi maklumat mengenai usaha mengurangkan hutang negara, ia akan diperlekehkan penyokong pembangkang. Lain kali, kalau kurang faham, bacalah dulu,” katanya.
Anwar baru-baru ini menegaskan bahawa kerajaan komited mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.