Berita Semasa

Mary Lim Thiam Suan dilantik Pengarah AIAC baharu 

PUTRAJAYA – Datuk Mary Lim Thiam Suan dilantik secara rasmi sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) berkuat kuasa 5 Ogos 2024.

Pelantikan itu dibuat selepas perundingan antara Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO) di bawah perjanjian negara tuan rumah.

Dengan pelantikan itu, semua permintaan perlantikan, keputusan dan kelulusan yang memerlukan rundingan dan pertimbangan pengarah akan diteruskan seperti biasa bermula 5 Ogos.

Pelantikan itu kekal sehingga penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC yang bergantung kepada tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang Pindaan Timbang Tara 2024 dan Rang Undang-Undang Pindaan Pembayaran Industri Pembinaan dan Adjudikasi 2024.

“Sepanjang tempoh itu, kami yakin dengan kepimpinan Datuk Mary dalam menerajui Jawatankuasa Protem untuk Mahkamah Timbang Tara AIAC serta sebagai pengarah AIAC yang akan memastikan kepentingan terbaik Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) terpelihara,” menurut kenyataan AIAC hari ini.

AIAC juga merakamkan penghargaan kepada bekas Pengarah, Datuk Sundra Rajoo atas sumbangannya sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Dengan inisiatif penstrukturan kini memasuki fasa akhir, kami optimis bahawa kepimpinan strategik Lembaga Pengarah AIAC bersama dengan kebebasan Mahkamah Timbang Tara AIAC yang bakal diwujudkan akan memperkukuhkan kedudukan AIAC sebagai institusi timbang tara terkemuka di rantau ini dan di peringkat global,” tambah kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button