Jenayah & Mahkamah

Kanak-kanak pandu kereta, bapa didakwa esok

SEPANG – Seorang kanak-kanak lelaki yang dirakam memandu kereta sambil membawa dua adiknya, akan didakwa di mahkamah esok.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, turut akan didakwa, bapa kepada kanak-kanak tersebut.

Jelasnya, lelaki berusia 53 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Manakala anaknya yang berusia 12 tahun pula akan dituduh mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, sebentar tadi.

Laporan media sebelum ini menyebut, polis sudah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong.

Ketika itu, Wan Kamarul dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan pada 11.30 malam, 29 Julai lalu.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki dan turut dinaiki dua lagi kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.

Show More

Related Articles

Back to top button