Berita SemasaPM X

Perkhidmatan awam banyak bantu negara

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi perkhidmatan awam banyak membantu kemajuan negara dari segi ekonomi serta pertumbuhan termasuk pengukuhan ringgit kebelakangan ini.

Beliau bagaimanapun berkata, di sebalik kejayaan itu, masih ada ruang untuk meningkatkan kecekapan dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya negara dapat menuju ke arah lebih baik.

“Kejayaan ini tentunya kerana politik lebih stabil, kemudian dasar dan kerangka lebih jelas.

“Tetapi satu elemen sangat penting untuk dijelaskan ialah kita mempunyai budaya tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi dan menjamin kejayaan (negara),” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Tambahnya, tanpa komitmen penjawat awam, dasar MADANI tidak mungkin terangkum, sukar ekonomi negara mencatat kejayaan, pelaburan tidak akan datang mencurah, malah projek tidak dapat dilaksanakan.

Katanya, kerajaan bernasib baik kerana mempunyai penjawat awam yang komited melaksanakan tugas mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button