Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Sembunyi dokumen, tiga direman SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman tiga individu disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan dokumen penting melibatkan syarikat industri minyak sawit.

Perintah reman selama tiga hari terhadap suspek wanita berusia 40-an dan lima hari terhadap dua suspek lelaki berusia 40 hingga 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Norainina Shariful Anuar.

Permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara pukul 10 malam semalam sehingga pukul 1 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek wanita yang bertugas sebagai Pengurus Akaun ditahan kerana disyaki terlibat dengan transaksi penerimaan rasuah.

“Manakala dua suspek lelaki yang merupakan setiausaha syarikat ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan Call Option Agreement (COA).

“Dokumen ini dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang telah ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button