Paris 2024: Zii Jia mara ke separuh akhir, teruskan misi pemburuan pingat emas pertama negara
PARIS – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan usaha pemburuan pingat apabila menewaskan pilihan keempat kejohanan dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 sebentar tadi.
Kemenangan itu mengubat hati peminat badminton negara yang bersedih selepas kekalahan dua wakil negara di separuh akhir petang tadi.
Terdahulu di set pertama, kedua-dua pemain saling berkejar mata sehinggalah pemain ranking ketujuh dunia itu menamatkan permainan dengan keputusan 21-17.
Di set kedua Zii Jia terus meningkatkan momentum sehingga satu ketika meninggalkan jauh Antonsen dengan lebih lima mata.
Bagaimanapun selepas ‘interval’ Antonsen mula mengutip mata apabila Zii Jia banyak melakukan kesilapan mudah sehingga beza mata hanya tiga.
Bagaimanapun, Zii Jia kembali fokus dan berjaya menamatkan permainan di set kedua dengan keputusan 21-15.
Dengan kejayaan itu Zii Jia akan membuat perhitungan di separuh akhir dengan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang membuat kejutan menewaskan pilihan utama dari China, Shi Yuqi.