Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia tangguh perjalanan ke Bangladesh
PUTRAJAYA – Kementerian Luar (Wisma Putra) menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai urusan kurang penting supaya menangguhkan perjalanan ke Dhaka, Bangladesh susulan situasi semasa di negara itu yang sukar diramal.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedia maklum ada warganegara Malaysia yang berhasrat pulang ke Bangladesh.
Justeru itu, Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk berdaftar semula keberadaan mereka di Bangladesh dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di
Dhaka.
“Para pelajar yang ingin kembali meneruskan pengajian di Bangladesh juga dinasihatkan untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejurus selepas mereka tiba di Bangladesh,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam sejak 1 Julai lalu.
Mahkamah Agung Bangladesh pada Ahad memutuskan bahawa 93 peratus daripada semua pelantikan penjawat awam akan dibuat berdasarkan merit berkuat kuasa serta-merta.
Ia menjadikan lima peratus diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971 dan dua peratus kepada orang daripada kaum minoriti atau kurang upaya.
Semua premis di seluruh Bangladesh juga dikenakan perintah berkurung sejak Sabtu lalu, ditutup sementara susulan evakuasi itu termasuklah Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di sana.