Berita Semasa

Pengarah Imigresen KLIA meninggal dunia ketika bertugas

SEPANG – Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sadim Abdullah dilaporkan meninggal dunia sewaktu bertugas kira-kira jam 4.20 petang, semalam.

Berita pemergian Allahyarham itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

“Semalam kira-kira jam 4.20 petang, keluarga besar KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia menerima khabar mengejut yang amat mendukacitakan apabila Allahyarham Tuan Sadim Abdul meninggal dunia sewaktu dalam tugasan.

“Malam tadi saya bergegas ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi menziarahi jenazah dan keluarga Allahyarham yang baru tiba dari Sabah,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Allahyarham merupakan seorang yang komited dalam melaksanakan amanah serta turut disenangi ramai.

“Pemergian Sadim adalah satu kehilangan besar buat semua pihak. Moga isteri dan empat orang anak Allahyarham, keluarga serta sahabat handai terus tabah menghadapi ujian ini.

“Marilah sama-sama kita doakan moga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa, diterima amalan dan ditempatkan di syurga bersama orang beriman serta beramal soleh, Insya-Allah. Al-Fatihah,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button